Tun  Datuk Seri Panglima Haji Sakaran bin Dandai dilahirkan pada 15 April 1930 di Kampung Air, yang terletak di persisiran pantai Daerah Semporna, iaitu sebuah perkampungan orang Bajau.  Nama asal Tun  Sakaran ialah Hashim (kemudian dinamakan Sakaran).  Ayah beliau ialah Dandai bin Ajibuddin bin Jamaluddin, keturunan Bajau.  Tun mempunyai Sembilan orang adik-beradik iaitu dua orang lelaki dan tujuh orang perempuan.Tun Sakaran telah mendirikan rumah tangga dengan Toh Puan Hajah Siti Rukaiyah binti Datuk Panglima Abdullah.  Mereka dikurniakan dua belas orang anak termasuk tujuh orang anak daripada perkahwinan pertamanya, (isteri pertamanya bernama Halimah meninggal dunia pada tahun 1964). 

Anak-anak mereka bernama Asiah, Asmah, Nasir, Aisah, Hj. Omar, Hj. Abdul Rahman, Hj. Jamal, Shamsiah, Hajah Saleha, Hj. Mohd. Suffian, Hj. Razak dan Hj. Mohd Arif. Tun Sakaran mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Semporna (1937-1941).  Pada masa Pendudukan Jepun, beliau sempat belajar dalam persekolahan Jepun dan menyambung semula di Government Vernacular School, Semporna.  Selain itu, beliau juga mendalami bidang agama dari 1945-1948.  Antara guru-guru agama yang pernah mengajarnya ialah ulama dari Arab, Indonesia dan orang tempatan.

Tun Sakaran memulakan tugas dalam perkhidmatan awam sebagai Kerani Anak Negeri (Native Clerk) di Pejabat Daerah Semporna pada 31 Ogos 1948.  Pada tahun 1950, Tun Sakaran telah ditukarkan oleh Kerajaan British untuk bertugas di Pulau Tambisan, Lahad Datu.  Beliau kemudiannya ditukar ke Semporna dan pada tahun 1958 telah sekali lagi ditukarkan ke Pejabat Daerah Tuaran (Pejabat Tanah).  Pada awal tahun 1959, beliau ditukar kembali ke Semporna dan menjawat jawatan Pemangku Kerani Besar. Pada awal tahun 1960, Tun Sakaran telah dilantik menjadi Ketua Anak Negeri (Native Chief) di Semporna.  Jawatan ini merupakan salah satu daripada jawatan tertinggi yang dapat dicapai oleh kalangan peribumi semasa pemerintahan British di Sabah.  Tun Sakaran merupakan Ketua Anak Negeri yang paling muda pada masa itu.  Beliau selalu memberi perhatian terhadap pembangunan pendidikan di Semporna, khasnya kerana pada masa itu hanya 35% kanak-kanak dalam lingkungan umur bersekolah dihantar ke sekolah.  Beliau kemudiannya telah membantu dalam mendirikan lebih banyak Sekolah Rakyat untuk meningkatkan taraf pendidikan penduduk Semporna. 

Tun Sakaran juga amat berjasa dalam mengasaskan pembukaan Rancangan Pulau Semporna, Mentaritip Pegagau dan Lihak-Lihak.  Dalam kesempatan inilah beliau banyak menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman sebagai pentadbir dan pemimpin.  Beliau terus berkhidmat sehingga bersara daripada perkhidmatan awam pada tahun 1967.
Tun Sakaran pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).  Beliau turut melibatkan diri dalam khidmat kebajikan dan telah mengilhamkan penubuhan Yayasan SABDI.  Matlamat utama penubuhan Yayasan SABDI adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat, khususnya masyarakat Islam demi meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendidikan serta menyebar kesusasteraan Islam khususnya di Semporna dan amanya keseluruh negeri.

Pada 1 Januari 1995, Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran bin Dandai telah dilantik sebagai T.Y.T. Yang di-Pertua Negeri Sabah Kelapan dan perkhidmatannya untuk penggal kedua telah disambung berkuatkuasa dari 1 Januari 1999 sehingga 31 Disember 2002.